Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menganggap bekas rakan seperjuangannya dalam PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan calon bebas lain sebagai pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, dan mengatakan cabaran besarnya datang daripada calon Barisan Nasional (BN).
Ketua pembangkang itu, yang merupakan calon PKR bagi kerusi DUN Kajang tidak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi mengatakan calon bebas tidak mempunyai dana, jentera dan sokongan media seperti calon BN.
"Saya rasa pertempuran adalah dengan calon BN. Isunya apa yang BN akan katakan.
"Saya tidak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi dengan jentera, dana dan sokongan media, kita mesti menjadi realisitik dan mengiktiraf, sebaik sahaja BN mengumumkan calon mereka, mereka akan berkempen secara besar-besaran," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada hujung Januari lalu