DARIPADA kecil hingga besar atau jenayah kolar biru dan kolar putih, jenayah tetap merupakan masalah yang tidak digemari biarpun banyak yang melakukannya secara rela atau terpaksa. Jenayah boleh dibendung dan dibanteras, tetapi mustahil sehingga ke tahap “jenayah sifar”.Yang pasti, jenayah dan pihak keselamatan saling bermusuhan
Walau bagaimanapun, jenayah juga tidak boleh dipisahkan dengan rasuah. Meskipun rasuah sendiri adalah jenayah, masalah timbul apabila ia pula yang menjadi penghalang jenayah dibendung/dibanteras. Amat malang jika pihak keselamatan sendiri boleh atau rela dirasuah.
Di negara kita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab membendung/ membanteras jenayah. Namun begitu, hakikat telah lama ia terpalit dengan rasuah, dan diperalat oleh kerajaan Umno- BN tidak dapat disangkal begitu sahaja.
Semakin canggih kaedah menentang jenayah, semakin canggih juga modus operandi (MO) masalah tersebut. Tidak boleh dinafikan ia kerana rasuah dan PDRM lebih digunakan untuk menjaga kepentingan pemimpin Umno-BN berbanding keselamatan rakyat.
RoboCop adalah filem fiksyensains aksi jenayah thriller dari Amerika Syarikat yang membawa kisah jenayah dan pihak polis.
Diarahkan oleh José Padilha, ia adalah pembikinan semula filem terbitan tahun 1987 dengan tajuk yang sama.
Pada mulanya, Screen Gems mengumumkan pembikinan semula RoboCop pada 2005. Namun begitu, projek itu tertangguh beberapa kali.
Metro-Goldwyn-Mayer Pictures (MGM) bercadang untuk menayangkannya pada Ogos 2013, tetapi menunda ke Februari 2014. Akhirnya, MGM bersama Columbia Pictures menampilkan filem produksi Strike Entertainment itu mulai 30 Januari lalu di pawagam seluruh dunia termasuk Malaysia.
RoboCop bikinan semula menampilkan Joel Kinnaman sebagai Alex Murphy/RoboCop, dibantu oleh Gary Oldman (Dr Dennett Norton), Michael Keaton (Raymond Sellars), Samuel L Jackson (Patrick “Pat” Novak), Jackie Earle Haley (Rick Mattox), dan Michael K Williams (Jack Lewis). Abbie Cornish dan John Paul Ruttan turut berlakon, masing-masing sebagai isteri dan anak Murphy, iaitu Clara Murphy dan David Murphy.
RoboCop pertama arahan Paul Verhoeven dibintangi oleh Peter Weller sebagai watak utama, serta Nancy Allen, Dan O’Herlihy, Ronny Cox dan banyak lagi. Weller hanya beraksi dalam RoboCop dan RoboCop (1990). Dalam RoboCop (1993), watak Murphy/RoboCop dipegang oleh Robert Burke.
Pada tahun yang sama, sekuel filem tersebut beralih menjadi siri televisyen dengan Richard Eden pula sebagai watak utama. Tetapi, siri televisyen RoboCop hanya diterbitkan dalam beberapa episod sahaja.
Berlatarbelakangkan tahun 2028, RoboCop membawa kisah syarikat multinasional, OmniCorp yang merupakan pusat teknologi robot. Di luar negara, produknya banyak digunakan oleh pihak tentera selama bertahun-tahun. Walau bagaimanapun, tidak di tanah air sendiri, Amerika Syarikat kerana berkaitan dengan masalah perundangan.
Ketua Pegawai Eksekutif OmniCorp, Raymond Sellars, mahu membawa teknologi terbaharu yang kontroversi itu. Peluang keemasan tiba apabila Murphy, seorang suami penyayang, ayah sekali gus anggota polis yang berdedikasi membanteras jenayah di Detroit mengalami kecederaan parah akibat letupan bom jangka yang dipasang pada keretanya
Kemalangan tersebut dimanfaatkan oleh OmniCorp untuk membuat RoboCop, separuh robot polis dan separuh manusia. Murphy dipulihkan semula oleh Ketua Saintis Yayasan Omni, Dr Dennett Norton menjadi RoboCop. Sellars membayangkan RoboCop berada di segenap ceruk Detroit. Namun begitu, dia tidak memikirkan satu perkara penting, iaitu masih ada manusia di dalam RoboCop
Sebagai “ciptaan” hebat, RoboCop dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan seperti boleh mengetahui identiti manusia sama ada baik atau jahat, serta mengesan dan melihat kejadian jenayah yang berlaku serentak di beberapa tempat, lalu membanterasnya.
Sebelum mengalami kecederaan dan kembali sebagai RoboCop, Murphy dan rakan setugasnya, Jack Lewis sedang menyiasat kegiatan jenayah yang diketuai oleh Antoine Vallon (Miguel Ferrer). Walau bagaimanapun, penyiasatan Murphy dan Lewis terganggu kerana dua anggota polis Detroit menerima rasuah daripada Vallon yang turut dilindungi oleh Ketua Polis Detroit, Karen Dean (Marianne Jean-Baptiste) sendiri.
Kemalangan yang menimpa Murphy adalah angkara mereka bertiga. Serta Vallon, Sellars dan pakar taktik ketenteraan latihan untuk RoboCop, Rick Mattox. RoboCop turut dibintangi oleh Jennifer Ehle (Liz Kline), Jay Baruchel (Tom Pope), Aimee Garcia (Jae Kim), Douglas Urbanski (Datuk Bandar Durant), dan Zach Grenier (Senator Dreyfuss).
Adakah PDRM juga memerlukan RoboCop? Melihat pada yang dipaparkan dalam filem, satu kelebihan yang sangat besar jika memilikinya.
Namun begitu, walaupun usaha pembanterasan jenayah ditambah baik dengan mekanisme seperti RoboCop, tiada makna kalau rasuah tetap membarah.
Jika rasuah masih berleluasa, kehebatan RoboCop pun belum mampu membanteras jenayah!
RoboCop boleh mengesan penjahat. Tetapi, seperti yang dipaparkan dalam filem berdurasi 102 minit itu, jenayah berpunca daripada rasuah. Bagaimana ia boleh dibanteras jika ketua polis sendiri menerima sogokan?