Fokus PKR kini ialah menghadapi PRK Kajang.
PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad meminta semua rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk memberikan fokus sepenuhnya bagi membantu kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang nanti.
Katanya, memang tak timbul isu (pertukaran jawatan menteri besar) setakat ini, pendirian kita ialah kita kena fokus di Kajang dahulu.
Menurutnya lagi, sebarang perkara lain yang berbangkit boleh diselesaikan melalui perbincangan antara parti komponen PR selepas PRK Kajang.
“Bagi saya, adalah jelas pendirian kita untuk fokus kepada PRK Kajang terlebih dahulu. Mengenai isu-isu lain kita akan beri komen apabila sampai masanya nanti,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada pendirian yang dinyatakan oleh Yang Dipertua PAS Kuala Langat, Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam Utusan Malaysia hari ini yang menyatakan isu perubahan jawatan Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu tidak menafikan bahawa kenyataan-kenyataan mengenai perubahan jawatan menteri besar yang dikeluarkan oleh pemimpin PR tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.
Ahmad Yunus, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini berkata PAS Selangor masih belum menetapkan sebarang persetujuan berhubung pertukaran jawatan antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini, Pas negeri hanya akan memberikan tumpuan terhadap urusan kempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Bagi soal jawatan Menteri Besar Selangor, kita akan bincangkan di peringkat Pas Pusat nanti,” Ahmad Yunus dipetik dalam Utusan Malaysia.
PRK Kajang yang akan berlangsung pada 23 Mac ini merupakan PRK ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.
Setakat ini, hanya PKR yang telah menamakan calon mereka iaitu Anwar yang juga merupakan Ketua Umum Pembangkang manakala Barisan Nasional (BN) masih lagi belum memutuskan calon mereka.