Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Pembeli rumah projek Desa Inderapura dakwa dianiayai

$
0
0
 
ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Beberapa pembeli rumah projek Desa Inderapura di Mukim Sabak, Sabak Bernam kesal dengan sikap bank yang didakwa gagal mengawal selia pihak bertanggungjawab yang menguruskan soal pembelian hartanah mereka sehingga terpaksa menanggung kerugian.

Selain projek tersebut didapati terbengkalai, pemilik asal tanah tersebut juga didapati berubah apabila pemaju perumahan yang pada awalnya mengendalikan projek itu, Syahira Development Sdn. Bhd. telah 'digulungkan' melalui perintah mahkamah dan pelikudasi rasmi dari Jabatan Insolvensi Selangor.

Seorang mangsa, Abdul Hadi Kamarudin memaklumkan Harakahdaily, beliau mendapati tiada sebarang projek pembinaan rumah dijalankan ketika meninjau tapak projek pada 17 Januari 2008, sebaliknya dipenuhi dengan pokok-pokok dan semak-samun.

Pemaju 'gulung tikar'

Tidak cukup dengan itu, pada 13 Mac 2008, Syahira Developement telah digulungkan dengan perintah mahkamah dan diambil alih serta dimajukan Outrecorp Sdn. Bhd. yang akan memulakan projek pada Oktober 2011 dan dijangka siap November 2013.

Berdasarkan dokumen yang disertakan Hadi kepada Harakahdaily, projek asal mencadangkan pemajuan 32 unit rumah teres, bagaimanapun ditukar bagi membina 20 unit rumah berkembar setingkat jenis 'A' dan dua unit rumah kembar setingkat jenis 'B'.

Sehubungan itu, beliau mendakwa tanah-tanah tersebut telah dijual kepada pihak lain yang kemungkinan dibeli daripada Jabatan Insolvensi apabila mendapati telah berlaku pertukaran nama pemilik berdaftar pada 22 Ogos 2011.

Nama pemilik asal bertukar

Sebelum ini, nama pemilik asal ketika Perjanjian Pembelian Tanah adalah Jamaudin Omar, namun ditukarkan dan didaftarkan sebagai Faridah Sudut melalui carian status tanah yang dibuat Hadi melalui Pejabat Daerah Sabak Bernam pada 24 Oktober 2013.

"Isu pemilikan tanah ini merupakan antara isu yang penting yang perlu diberi pertimbangan nama Jamaudin tiada mempunyai rekod kepunyaan, sebaliknya nama Faridah yang secara tridak langsung hak saya terhadap tanah tersebut telah hilang," tegas beliau.

Selain menghadapi pelbagai masalah, termasuk soal pinjaman bagi projek perumahan yang terbengkalai, Hadi juga kesal dengan pihak bank yang bertanggungjawab untuk memastikan sesebuah syarikat pemaju itu benar-benar layak mengendalikan sesuatu projek.

Ini kerana, Jabatan Perumahan Negara telah mengesahkan Syahira Development merupakan sebuah syarikat yang menjalankan projek perumahan tanpa mempunyai lesen pemaju seperti yang dikehendaki Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.

"Saya percaya menjadi satu perkara lazim dan prosedur biasa yang akan dibuat bank ketika memproses kelulusan pinjaman  untuk membuat carian kebangkrapan ataupun mengenalpasti jika saya disenaraihitamkan di bawah CCRIS atau CTOS.

"Tetapi wujud satu 'double standard' di sini, di mana status pemaju sebagai pemju perumahan yang berlesen tidak dipastikan sungguhpun akujanji dari pemaju telah diperoleh pihak bank," kata beliau.

Sekiranya status pemaju disahkan terlebih dahulu, Hadi menyatakan keyakinan sudah tentu pinjaman tersebut tidak akan diluluskan dan beliau tidak akan membeli hartanah tersebut.

Lebih malang lagi, dakwa Hadi pihak bank kemudiannya mengeluarkan wang dari kemudahan pinjaman yang telah dibuat olehnya kepada pemaju dan kontraktor pembinaan yang tidak berlesen itu, yang disifatkannya sebagai melanggar Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan  1989 (BAFIA).

Sehubungan itu, Hadi berharap tindakan tegas perlu dilakukan Bank Negara untuk memulakan siasatan seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 82 hingga 90 akta yang disebutkan.

Isu perbankan Islam

Dalam pada itu, Hadi berpendapat kontrak Al-Bai Bithaman Ajil atau BBA yang ditandatanganinya sepatutnya terbatal jika hartanah tersebut gagal disiapkan, terbengkalai atau gagal diserahmilik oleh pihak bank kepada pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.

"Begitu juga apabila pihak pemaju, iaitu Syahira Development selaku pembuat objek utama akad iaitu hartanah saya tidak mempunyai lesen pemaju, maka itu juga haram zatnya.

"Biarpun objek utama saya iaitu hartanah saya belum wujud secara keseluruhannya, pihak bank telah cuba untuk menamatkan kontrak BBA tersebut dan menuntut hampir keseluruhan jumlah harga tertangguh seperti Perjanjian Penjualan tersebut walaupun jumlah pengeluaran pinjaman hanya dikeluarkan dalam nisbah sebanyak 30 hingga 45 peratus sahaja," tegas Hadi lagi.

Beliau turut beranggapan tindakan pihak bank yang menuntut keseluruhan jumlah pinjaman harga tertangguh penjualan adalah melanggar matlamat utama hukum Islam dalam menyebabkan mafsadah (kerosakan) dalam erti kata gagal memelihara kepentingan asas iaitu hartanah miliknya tidak dicabuli, selain gagal menjaga kepentingan yang diperlukan dengan membuat tuntutan yang belum sampai masanya.

"Pihak bank bukan sahaja gagal menjaga kepentingan saya sebagai pelanggan mereka apabila  tidak mengambil apa-apa tindakan setelah tanah itu dijual kepada pihak ketiga, malah secara tidak bertanggungjawab dengan sikap lepas tangan, terus menuntut bayaran pinjaman daripada saya," tegas beliau.

Beliau yang berasa dikhianati oleh pihak yang mendakwa profesional terpaksa menanggung kerugian yang besar selain tekanan yang amat sangat berikutan hak milik tanah yang tidak dipindah milik, malah terpaksa menanggung hutang sebanyk RM470,760.08 yang dituntut pihak bank.

Malah, Hadi juga telah disenaraihitamkan hingga menyebabkan kesulitan untuk membuat sebarang pinjaman daripada pihak bank bagi membeli rumah, kereta, permohonan kad kredit dan sebagainya.

Harakahdaily dimaklumkan, segala permasalahan yang dikemukakan Hadi telah dibawa ke pihak bertanggungjawab seperti Bank Negara, Biro Pengaduan Awam, kementerian berkaitan dan juga media.

Selain Hadi, Harakahdaily juga dimaklumkan terdapat beberapa pembeli lain yang menjadi mangsa, turut mengemukakan aduan sama terhadap beberapa pihak, termasuk pihak bank yang bertanggungjawab.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722