MALAYSIAKINI
![](http://mk-cdn.mkini.net/719/759f096388e089f5ddaa1e753b66591a.jpg)
DAP Sarawak mahu pihak polis bertindak terhadap NGO yang menawarkan ganjaran wang untuk menampar Ahli Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok.
"Ia tidak pernah berlaku di Malaysia di mana seseorang menawarkan ganjaran untuk melakukan jenayah," kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Chong, yang merupakan MP Bandar Kuching, membuat gesaan itu selepas membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga di Kuching semalam terhadap NGO yang menyembelih empat ekor ayam di Kuala Lumpur dan melumurkan darahnya pada banner gambar pemimpin pembangkang.
Dalam protes itu, mereka menawarkan ganjaran RM500 - dan kemudian menaikkannya kepada RM1,200 - kepada sesiapa yang menampar Teresa dan merakamkannya.
Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis itu, Chong berkata: "Tawaran itu sendiri adalah satu tindakan jenayah yang berniat untuk menakut-nakutkan dan juga berniat untuk melakukan keganasan.
"Kita mahu pihak polis mengambil tindakan. Kami beri mereka masa 12 jam, dari jam 3 petang hari ini ( semalam) untuk mengambil tindakan," kata Chong, sambil menambah bahawa jika polis gagal berbuat demikian, ia akan dituduh membiarkan perbuatan keganasan.
Lebih-lebih lagi, katanya, jika apa-apa berlaku kepada ahli Parlimen Seputeh, polis akan bertanggungjawab kerana didakwanya gagal melaksanakan tugas mereka seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Chong yang juga seorang peguam membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya membisu selepas tawaran ganjaran wang itu dibuat.
"Kami tidak mahu melihat politik Malaysia menjadi politik melampau. Sebagai pemimpin negara ini, Najib perlu tampil secara terbuka mengutuknya dan memastikan mereka ini segera ditangkap untuk siasatan dan didakwa di mahkamah," katanya.